Isnin, 28 Mac 2011

Pilihanraya Umum 13 Tahun Ini (Dunia Tiger)

Jika ada individu yang ingin menawarkan diri sebagai calon pada PRU 13 ini, mereka perlu memikirkan istilah yang selalu digunakan oleh DS Najib Razak iaitu 'winnable candidate' atau 'calon yang mampu menang'. Apakah kriteria atau ciri-ciri seorang yang calon yang mampu memberi kemenangan kepada parti yang diwakili?

Sebagai seorang Muslim mereka perlu mempunyai sifat para Nabi dan Rasul iaitu siddiq, amanah, tablig dan fatanah. Walaupun manusia biasa tidak mampu mewarisi sepenuhnya sifat-sifat mulia kerana Nabi dan Rasul bersifat maksum, empat asas itu perlu menjadi pakaian dan perhiasan seorang yang mengaku diri mereka mukmin.

Seorang mukmin juga perlu mempunyai sifat ikhlas, murah hati, merendah diri dan benar, berhemah tinggi dan sederhana serta mempunyai sifat mengasihi dan menyayangi dan mampu berkomunikasi dengan baik terutama masyarakat.

Pertama : Siddiq (Benar)Seorang mukmin harus memiliki sifat benar tidak ada sepatah pun perkataannya yang mengandungi kebatilan, dalam apa sahaja keadaan dan suasana. Sifat siddiq adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran dari tingkah perlakuan yang bersih dan suci.

Sifat inilah juga yang menjamin dapat mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali samada dia itu seorang alim, atau seorang yang berkuasa atau seorang saudagar, samada laki-laki atau perempuan, dewasa ataupun kanak –kanak, selama mereka hidup dalam satu masyarakat yang saling perlu memerlukan antara seorang dengan yang lain. Sifat siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq.

Kedua : Amanah ialah sifat mulia yang pasti dipunyai oleh setiap orang dalam menghadapi perjuangan hidup demi untuk mencapai cita cita yang diazamkan. Suatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan harmoni melainkan hanya di atas asas yang kukuh dan tetap, antaranya asas amanah. Dengan jelas kita dapat menyaksikan perbezaan antara dua jenis manusia pertama yang amanah atau al amin dan kedua yang khianat atau al-Khain. Orang yang amanah akan menjadi tempat kepercayaan dan penghormatan orang ramai, sebaliknya orang khianat itu pula menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.

Sifat seorang mukmin yang amanah akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh bertanggungjawab. Dia tidak akan 'curi tulang', tidak akan mengambil rasuah dan tidak akan melaksanakan tugas sambil lewa sahaja. Dia merasai tanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. jika di dunia diabaikan amanah yang diberikan kepadanya.

Jika sifat amanah ini dimiliki oleh para pemimpin kita, para ulama , guru-guru, pegawai atasan dan ahli perniagaan maka kita akan dapati negara akan berkembang maju dan kekayaan negara akan dapat di manfaatkan sepenuhnya untuk rakyat dan keseluruhan rakyat umumnya akan mempunyai akhlak yang baik. Oleh kerana sifat amanah suduh hilang atau berkurangan maka kesan daripadanya menyebabkan hutang negara bertambah kerana membazirkan wang negara untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang bangkrap akibatnya negara terpaksa menanggung hutang yang besar. Selain daripada itu kesan sifat tidak amanah ini juga maka kadar jenayah semakin meningkat kerana tidak ada amanah diperingkat penguasaan undang-undang.

Ketiga : Tabligh atau sifat menyampaikan dakwah dan Islam kepada masyarakat adalah satu sifat atau tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T. Kewajipan berdakwah adalah tanggungjawab besar yang menjadi tonggak utama agama dan tiang seri atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturan serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Keempat : Fathanah (Kebijaksana dan cergas). Sifat keempat ialah fathanah(bijaksana dan cerdas). Sifat ini adalah sifat penting yang perlu ada pada seorang mukmin yang bertugas menyampaikan dakwah kepada masyarakat, kerana sifat fatanah akan menyempurnakan sifat tabligh. Seseorang pendakwah yang terlibat secara langsung akan selalu terlibat dalam perbincangan dengan musuh, menghadapi pertanyaan daripada ahli jemaah, serangan serta kritikan orang yang masih meragukan. Seorang yang memiliki sifat fatanah ini cukup faham keadaan mereka yang ingin didakwahkan dan mengambil pendekatan lemah lembut dan penuh hikmah. Dia juga berkemampuan untuk memahami isu-isu semasa, memahami kekuatan dan kelemahan orang yang ingin di dakwahkan dan mengambil pendekatan yang bijak supaya dapat mengelakkan fitnah dan penghinaan kepada Islam.

Seorang bakal calon perlu mempunyai ilmu yang baik untuk memastikan mereka mampu memimpin masyarakat selain berkebolehan memberi nasihat yang berguna. Mereka yang berilmu mampu berfikir dengan baik untuk menyelesaikan sebarang masalah terutama pengundi yang pasti menganggap mereka 'penyelamat' setiap masa terutamanya membabitkan soal kewangan dan pendidikan anak-anak. Selain itu, mereka juga perlu dilihat turun padang untuk mendapat segala macam maklumat daripada pengundi dan seterusnya menyalurkan kepada pihak kerajaan serta-merta. Mereka perlu ada keyakinan diri untuk melontarkan hujah-hujah yang bernas di Parlimen bagi mengutarakan hasrat rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan