Selasa, 22 Disember 2009

22 Tanda Kiamat


1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui internet, iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.

4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya.

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

Sabtu, 5 Disember 2009

UMNO Mesti Berubah Atau Rebah


1. Terdapat 2 orang "KETUA" dalam UMNO yang TELAH DIDAPATI BERSALAH oleh Lembaga Disiplin UMNO mengamalkan rasuah politik wang tetapi terus diangkat menjadi pemimpin iaitu KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA dan KETUA MENTERI MELAKA.

2. KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA TELAH DIPILIH oleh Perwakilan Pemuda UMNO.

3. KETUA MENTERI MELAKA TERUS DIPILIH oleh Kepimpinan Tertinggi UMNO.

4. Rakyat dengan mudah menilai taraf pemikiran Perwakilan Pemuda UMNO yang memilih KETUA PEMUDA UMNO dan taraf pemikiran Kepimpinan Tertinggi UMNO yang terus memilih mengekalkan KETUA MENTERI MELAKA.

5. Pada pemikiran rakyat biasa hanya PERASUAH akan memilih PERASUAH.

6. Rakyat beranggapan pemimpin yang jujur tidak akan bekerjasama dengan PERASUAH. Pemimpin yang jujur tidak akan percaya kepada PERASUAH. Pemimpin yang jujur akan menolak PERASUAH.

7. Dengan mengekalkan mereka berdua ini UMNO seperti telah MENGHALALKAN RASUAH hingga ke peringkat tertinggi!

8. Bukanlah kerana anti Khairy atau Ali Rustam. Tetapi mereka berdua ini akan menjadi punca utama UMNO terus dikaitkan dengan rasuah. Mereka berdua menjadi liabiliti terbesar kepada UMNO.

9. UMNO akan terus dilihat parti korup yang penuh dengan RASUAH jika PERASUAH terus diberikan tempat dalam UMNO.

10. Pemimpin UMNO yang terlibat dengan RASUAH mesti disingkirkan dengan segera sebelum UMNO disingkirkan oleh rakyat.


MASA UNTUK UMNO BERUBAH SEMAKIN SUNTUK.

PEMIMPIN YANG TERPALIT DENGAN DAKWAAN RASUAH MESTI DISINGKIRKAN SEGERA SUPAYA UMNO DILIHAT OLEH RAKYAT JUJUR DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH MEMBERSIHKAN PARTI DARI RASUAH.

RAKYAT SEMAKIN TERUS MELUAT BILA PERASUAH TERUS DIANGKAT MENJADI PEMIMPIN-PEMIMPIN TERTINGGI UMNO. WAJAH PERASUAH MASIH LAGI TERPAMPANG DIMANA-MANA DAN MENIMBULKAN BENCI DI HATI RAKYAT.

BAGI RAKYAT BIASA KALAU KEPALANYA(PEMIMPIN TERTINGGI UMNO) PERASUAH MAKA EKORNYA (KETUA CAWANGAN/BAHAGIAN) LAGI KUATLAH RASUAHNYA.

SEPERTI KATA PEPATAH CIKGU KENCING BERDIRI ANAK MURID KENCING BERLARI.



Rabu, 2 Disember 2009

Membina 'Jambatan' Nusa Bangsa

KUNJUNGAN saya ke Bandung bersama delegasi Malaysia baru-baru ini mengimbau sejenak kenangan saya di Indonesia sewaktu ditugaskan oleh Tan Sri Rashid Hussain, Pengasas Perkumpulan RHB Berhad untuk menguruskan pengambilalihan PT Bank Niaga dan mengendalikan operasi perbankan pelaburan serantau berpusat di Jakarta sekitar 1997-1998.

Dek kerana hujan lebat yang kerap di Bandung, kali ini saya tidak berkesempatan bersenang-senang menunggang 'ojek' apatah lagi minum petang sambil-sambil menjamah tempe dan tauhu goreng!

Saya terfikir bahawa kehadiran musim tengkujuh sebegini seolah-olah memperlihatkan bandar Bandung atau 'Paris de Java' yang terkenal dengan udara nyaman pergunungan di kalangan parawisata tidak lagi diselenggara dengan baik. Kebanyakan dinding di tengah kota berlumut dan sampah sarap pula lembap tidak terpungut dan berbau busuk.

CINTAI NEGARA SENDIRI

Serentak itu juga rasa syukur singgah dalam diri. Terasa bertuah sekali kerana dilahirkan di Malaysia yang mempunyai asas pengurusan kerajaan tempatan yang begitu efisien. Sememangnya asas ekonomi yang utuh adalah dasar kepada kemampuan sesebuah kerajaan untuk menyelenggara permintaan jutaan rakyat jelata.

Akuilah bahawa kerajaan yang bertanggungjawab memacu Malaysia ke puncak kejayaan hari ini ternyata berjaya memenuhi kewajipannya kepada rakyat dengan berkesan selama lebih 50 tahun!

Seingat saya, ketika di penghujung tugas, Indonesia seperti juga Malaysia diserang oleh si penyangak mata wang, George Soros.

Pertukaran wang Indonesia ketika itu melonjak ke tahap tertinggi IDR16,000 bagi setiap AS$1 (purata sebelum krisis moneter, AS$1 > IDR2,500). Sebagai pengurus muda pada ketika itu, saya menjadi 'saksi jarak dekat' kepada istilah ekonomi dan perbankan pelaburan yang digelar sebagai "Doom's Day" (Hari Kiamat).

Pada tahun 2007 pula, krisis ekonomi global nampaknya memberi kesan lebih besar ke atas Indonesia berbanding Malaysia sehingga memaksa pertukaran mata wang di tahap tertinggi iaitu IDR11,000 bagi setiap AS$1.

Sekalipun Indonesia kaya dengan khazanah bumi, sehingga hari ini pun ia belum lagi pulih sepenuhnya daripada krisis ekonomi yang dihadapinya. Malahan, terdapat perkhabaran yang mengatakan, begitu banyak syarikat besar di Indonesia yang kini masih dipegang kuasa asing.

Di Malaysia dengar-dengarnya, ada pihak yang cuba menguar-uarkan bahawa ekonomi Indonesia telah pulih dan begitu berjaya. Kemungkinan besar pihak berkenaan cuba mencari jalan untuk menegaskan bahawa Malaysia akan lebih berjaya jika memilih dana IMF ketika krisis ekonomi 1997 dahulu! Sedangkan hakikat sebenarnya, kenyataan tersebut adalah tidak tepat sama sekali.

PENJAJAH INGGERIS VS NBELANDA

Dari satu sudut yang lain pula, saya sedikit sebanyak berasa kita lebih 'bernasib baik' kerana dijajah oleh Inggeris dan bukannya Belanda. Sistem birokrasi Inggeris sebenarnya mempunyai teras strategi pengurusan yang lebih mantap daripada Belanda dan ini membantu menyediakan asas ekonomi dan politik yang lebih utuh lagi kukuh.

Dalam konteks sosio politik Indonesia pula, jurang perbezaan golongan kaya dan miskin terlalu lebar. Ini di antara alasan mengapa golongan profesional dan golongan pertengahan di Malaysia perlu diperbanyakkan kerana mereka adalah 'komuniti pengimbang' dalam struktur sosio-ekonomi dan politik negara yang sepatutnya terus diberi perhatian penuh oleh kerajaan.

Mereka adalah kumpulan pembayar cukai pendapatan terbesar yang pada masa sama mempunyai kriteria kepimpinan masa hadapan dan pengalaman perit jerih untuk hidup dari 'bawah'.

FORMULA PERPADUAN YANG LEBIH BERKESAN

Terbukti bahawa formula nasionalisme di Indonesia yang kuat belum boleh menjanjikan ketenteraman dan keharmonian negara.

Nama dan penggunaan bahasa Indonesia secara total yang 'diwartakan' ke atas rakyat Indonesia berbilang kaum sejak zaman Sukarno sebenarnya adalah begitu rapuh dan telah beberapa kali dicabar melalui 'demonstrasi ganas' ke atas kaum Cina dan Kristian yang saya sendiri saksikan sewaktu usaha untuk menjatuhkan Suharto pada tahun 1997-1998.

Usaha untuk mengukuhkan tali kerakyatan adalah usaha berterusan. Jika formula 'toleransi perkauman' Malaysia selama ini telah terbukti begitu berjaya meletakkan Malaysia lebih baik berbanding negara jirannya, ayuh kita pastikan formula 'penerimaan' dalam '1Malaysia' membawa kita ke satu tahap kejayaan baru yang lebih tinggi pula.

Untuk berjaya, orang Melayu mesti mencari persamaan dan elakkan perbezaan dengan kaum-kaum lain biarpun berbilang bahasa, agama serta budaya.

Kaum-kaum lain di Malaysia pula mestilah menerima hakikatnya bahawa orang Melayu di Malaysia perlu dihormati bukan hanya atas status 'bumiputera' tetapi kedudukan Melayu di Nusantara yang asalnya menjadi penghuni kesekian lamanya sebuah empayar hebat yang bersempadankan China dan India sehingga nun jauh ke selatan di Australia!

Dalam pada itu juga, 'jambatan hubungan' Malaysia-Indonesia perlu diperutuhkan kerana kita semua adalah Melayu Nusantara, penduduk pribumi seluruh pelosok rantau Asia Tenggara. Selalulah beringat, propaganda untuk menghancurkan hubungan adalah permainan Barat atau wakil-wakil mereka di rantau Nusantara ini.

Memetik kata-kata pujangga Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang secara simboliknya menyuruh kita "mari kita bina kekuatan melalui kepulauan-kepulauan Melayu serantau bagi menangkis serangan-serangan ke atas tanah-tanah besar Melayu Nusantara dari anasir-anasir 'dalam' mahupun 'luar.'"

Depetik dari rencana tulisan sahabat saya: Sdr Feris Omar Presiden Prowaris.

Selasa, 1 Disember 2009

Bahasa Kebangsaan: Kenapa Samad Said, Hassan Ahmad Kini Menyepi ?

BULAN Bahasa Kebangsaan sudah hampir sebulan berlalu tanpa ada suatu pun program yang boleh dibanggakan untuk dikenang sebagai usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Para pejuang bahasa yang teramat lantang dahulu, entah ke mana menghilang. Tidak ada seorang pun yang bersuara mengenai kecelaruan penggunaan bahasa sekarang ini, seolah-olah perjuangan mereka adalah perjuangan bermusim.

Sedikit waktu dahulu, para pejuang bahasa begitu ghairah mengkritik kerajaan mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) hingga membawa kepada penghantaran memorandum kepada Yang Dipertuan Agong. Tokoh-tokoh seperti Datuk A. Samad Said dan Hassan Ahmad yang berkeras meminta kerajaan menarik balik PPSMI atas alasan mahu memartabatkan bahasa Melayu terus menyepi selepas peristiwa demonstrasi jalanan itu.

Selepas itu, semua diam menyepi dan tidak kedengaran lagi. Barangkali mereka sudah puas setelah berjaya memaksa kerajaan menghabiskan berapa juta pula untuk menghasilkan buku-buku teks yang baru menggantikan buku teks PPSMI dahulu. Kerajaan perlu membelanjakan jutaan ringgit lagi bagi menjalankan kursus-kursus untuk guru-guru yang terlibat dengan PPSMBM pula.

Ketika Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Sarawak pada 1 Oktober lalu, sehingga sekarang tokoh-tokoh tersebut menyepi sahaja. Yang ada hanyalah beberapa orang pencinta bahasa memberi beberapa pandangan yang dipandang sepi oleh semua pihak dan akhirnya berlalu begitu sahaja.

Sekarang semuanya kembali kepada asal, malah semakin jauh daripada matlamat hendak meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dan bahasa ilmu. Para pemimpin masih juga cenderung berbahasa Inggeris walaupun berucap kepada khalayak dari Malaysia sendiri. Tokoh-tokoh korporat tetap dengan penuh ego menyampaikan maklumat kepada rakyat Malaysia sendiri dalam bahasa Inggeris seolah-olah bahasa itu menjadi satu kemestian dalam bidang mereka.

Tidak ada siapa peduli dengan lambakan drama Melayu yang menggunakan dialog bahasa rojak. Tidak siapa peduli iklan-iklan yang terang-terang mencabar usaha memartabatkan bahasa Melayu, termasuk menggunakan pelbagai bahasa dalam satu iklan.

Para pejuang bahasa seperti bisu dan hilang taring. Kalau dulu begitu lantang dengan pelbagai kritikan, sekarang hilang begitu sahaja. Seolah-olah kemunculan mereka bermusim.

ILHAM SYAKIMA

Usah Rendahkan Martabat Sekolah Kebangsaan

SAYA mengikuti perkembangan yang bermula daripada kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai prestasi Sains dan Matematik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mengatasi Sekolah Kebangsaan (SK).

Kenyataan beliau ini kemudian disusuli dengan cadangan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, agar guru-guru SK belajar daripada SJKC bagi dua subjek ini.

Sebenarnya mitos SJKC lebih pintar dalam Sains dan Matematik ini wajar dibicarakan. Adakah benar pelajar SJKC lebih pintar dalam Matematik daripada pelajar SK? Saya kurang setuju dengan kenyataan tersebut.

Pada pandangan saya, sistem pendidikan SJKC, khususnya untuk Matematik, tidak dapat melahirkan ahli matematik dan saintis tulen. Ia sekadar memberikan skor A di peringkat UPSR kerana yang dititikberatkan adalah latih tubi yang intensif. Kaedah ini memang sesuai untuk meningkatkan markah atau pencapaian Matematik bagi tujuan peperiksaan. Tetapi belum tentu ia boleh melahirkan ahli matematik atau saintis yang hebat.

Sepatutnya kita tidak harus terpedaya dengan bilangan A sebagai kayu ukur pendidikan yang sempurna, khususnya melahirkan rakyat yang kreatif, kritis dan berakhlak. Lihat sahaja keputusan persaingan Matematik antarabangsa yang dapat dilihat daripada laporan TIMSS setiap tahun. Negara timur seperti Singapura, Korea dan Jepun mendapat kedudukan yang teratas berbanding negara barat seperti Britain, Amerika Syarikat, Perancis dan lain-lain.

Tetapi kalau kita lihat negara mana yang melahirkan lebih ramai pencipta teknologi baru, penemuan teori dan aplikasi sains dan rakyat yang lebih kreatif dalam pelbagai seni, tidak syak lagi negara seperti Amerika Syarikat akan mengatasi yang lain. Negara ini tidak memberatkan latih tubi tetapi kefahaman dan kreativiti yang kental.

Negara-negara Asia yang terletak pada kedudukan teratas itu pula seperti Singapura kini sudah pun mula mengubah strategi supaya sistem pendidikan menerapkan lebih banyak unsur kemahiran berfikiran kritis dan kreatif. Ia masih tidak berpuas hati dengan kedudukan teratasnya itu sebab ia tidak mempunyai makna besar. Malahan Singapura kini mula mengajar pelajarnya tentang falsafah.

Sebagai guru Matematik bertauliah di SK, guru-guru berkenaan tidak perlu pergi membuat lawatan sambil belajar di SJKC. Guru-guru SK boleh buat apa yang dilakukan di SJKC dengan menambah waktu belajar subjek itu dan membanyakkan kerja rumah serta latih tubi intensif dengan para pelajar. Amatlah memalukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) jika ia terpaksa menghantar guru SK ke SJKC sebab ini menandakan KPM gagal dalam melatih gurunya sendiri.

Sepatutnya kita faham bahawa SJKC telah mengutamakan masa untuk Sains dan Matematik mendahului pelajaran bahasa kebangsaan sendiri dengan waktu yang singkat sehingga gagal melahirkan pelajar yang juga rakyat Malaysia yang fasih berbahasa kebangsaan.

Inikah model pendidikan holistik atau pun bersifat kebangsaan yang kita ingini? Justeru, saya cadangkan diperbetulkan tanggapan mengenai SJKC mengatasi SK dalam subjek Sains dan Matematik ini serta dikaji semula cadangan guru-guru SK belajar daripada SJKC dalam dua subjek tersebut.

Dalam hal pendidikan, bawalah berbincang dengan pakar untuk keputusan yang lebih adil. Janganlah merendahkan martabat SK.

PROF. ROSNANI HASHIM

Institut Pendidikan, Universiti

Islam Antarabangsa Malaysia