Guru
akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30
peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan
Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak hari ini, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan
bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan
bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik
minimum yang ditetapkan.
Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan
yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan
negara – mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama.
Rangka tindakan awal itu menyatakan
Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan
Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah
dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan.
Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban
guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi
fokus terhadap tugas mengajar.
“Ini akan dicapai dengan memperkemas dan
mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah
fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau
kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah,” kata laporan itu.
Kementerian Pelajaran juga bercadang
melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016,
apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan
inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka.
“Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan
pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh
kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun,” kata laporan itu.
Laporan itu seterusnya berkata guru yang
menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan
sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.
“Guru yang sering mencatat prestasi rendah,
walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang
mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib
atau pengurusan kokurikulum,” kata laporan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan