Tapi apa yang lebih mengingatkan saya, setiap kali hadirnya Ramadhan ialah 'suasana' kehidupan di kampung 30 tahun lalu. Dan saya begitu terasa apabila 'suasana' itu sudah hilang. Sungguh sedih
Dahulu kehidupan kami sungguh harmoni, bertegur sapa dan mengambil berat antara satu sama lain. Ibu bapa ketika itu, begitu prihatin akan kegiatan kanak2. Malah mereka rasa bertanggungjawab antara satu sama lain untuk menegur sebarang kesilapan yang kami lakukan dengan ikhlas. Pendek kata kami anak2 felda takut melakukan sesuatu perkara yang salah kerana ibu bapa dirumah pasti akan tahu apa yang kami lakukan diluar kerana ada 'mata2' yang memerhati.
Masih jelas diingatan wajah2 arwah ustaz Mail, Tok Lebai Taha, Pak Lah Mi Sup, Ismail Saaban dan ramai lagi. Merekalah antara orang2 penting pada setiap kali datangnya ramadhan.
Ustaz Mail sebagai imam felda ketika itu, ialah seoarang yang cukup proaktif. Persiapan untuk sembahyang sunat terawih dan hari raya dibuat awal2 lagi. Bilangan jemaah yang bakal hadir, semuanya sudah diambil kira untuk memberi kesempurnaan. Bila tiba waktu sembahyang sunat terawih, peranan Tok Lebai Taha pula dilihat begitu ketara. Beliau lah yang mendisiplinkan kami , supaya tertib ketika bersembahyang. Identiti yang kami geruninya ialah 'rotan'. Biasanya Tok Lebai Taha membawa rotan sepanjang bulan ramadhan.
Kalau sesiapa dilahirkan di Felda Sungai Tiang, tentu ingat Pak Lah Mi Sup. Beliau ialah 'peti ais' kami. Waktu itu peti ais belum ada lagi di sini. Jadi membekal ais di bulan puasa, adalah tanggunjawab Pak Lah. Mulai jam 5.30 ptg orang ramai terutama kanak2, mula beratur panjang untuk membeli ais 'ketol' yang dipotong bahagian2 kecil. Ais buku yang besar itu 'dikambus' dalam timbunan serbuk kayu bagi menghalang pencairan yang pantas. Semua orang akan mendapat bahagian masing2 untuk berbuka nanti. Biasanya Pak Lah akan ingat siapa yang sudah dapat dan siapa yang belum dapat bahagiannya. Jadi, boleh tuan2 bayangkan betapa eratnya hubungan antara kami ketika itu.
Pekan kami yang makin hodoh dan buruk ketika ini, dipenuhi bau ikan talang masin, ikan tenggiri masam dan telur masin. Bau bauan ini cukup menyelerakan.. Setiap pagi waktu sahur, makanan ini menjadi menu wajib setiap isi rumah. Maklumlah kedudukan kami jauh dari laut susah untuk mendapatkan ikan basah. Lagi pun ikan basah lebih mahal dan tidak dapat disimpan lama. Peti ais belum ada.
Bazar ramadhan belum wujud ketika itu, biasanya kuih muih disediakan sendiri oleh ibu. Kalau ada pun bazar ramadhan ketika itu, peniaga akan kerugian. Biasanya juadah berbuka yang disediakan ibu itu akan ditukar dengan jiran tetangga. Mana ada lagi pengalaman seperti ini........
Malam hari pula, setiap rumah akan diterangi cahaya pelita buluh (punjut.) Biasanya pelita buluh ini kami buat sendiri dengan mencari buluh dalam hutan berhampiran. Proses menyediakan pelita juga adalah secara bersama. Setelah siap, pelita itu akan dibahagi sama banyak antara kami. Jadi tiada rumah yang tidak diterangi lampu buluh,
Lagi satu kenangan yang tak dapat saya lupa ialah aktiviti menggumpul tempurung kelapa untuk dibakar pada malam puasa 27hb. Tempurung kelapa ini biasanya dikumpul sejak mula2 berpuasa. Oleh itu, boleh kita bayangkan betapa banyaknya timbunan tempurung dapat dikumpul, dan betapa cerahnya halaman rumah pada setiap malam 27hb puasa. Cukup indah, sungguh indah pengalaman ini.
1 syawal di Felda Sg Tiang amat meriah, amalan kunjung mengunjung, bermaaf-maafan begitu ketara. Setiap rumah berhampiran pasti akan dikunjungi untuk tujuan menjamu selera dan memohon maaf sekiranya ada kesalahan pernah dilakukan. Bagi kami, tujuan berkunjung ke rumah jiran adalah untuk mengumpul wang, untuk membeli mainan atau komik. Biasanya setiap rumah akan menghulurkan 5 atau 10 sen kepada kanak2 yang melintasi rumah mereka.
Kini semuanya sudah hilang di Felda Sg Tiang. Suasana kegembiraan ini sudah tidak dapat dirasai oleh anak2 kita lagi. Bila tiba bulan puasa dan hari raya, mereka asyik menyemak rancangan TV. Tidak lagi mahu berkunjung ke rumah jiran tetangga. Kita akui masa berubah, namun amalan lama yang baik sepatutnya dipertahankan. Jika boleh, ingin kita mencadangkan kepada pihak Astro dan RTM supaya tidak menayang rancangan2 hiburan yang mengasyikkan pada hari raya pertama. Kalau boleh siarkan takbir raya sahaja pada hari itu. Beri balik kemeriahan berhari raya di tanahair kita.
Akhir sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada arwah ayah dan ibu, iaitu Ku Baharom Ku Din dan Yah bt Hassan kerana melahirkan saya di Felda Sungai Tiang, seterusnya memberi peluang saya menghimpunkan pengalaman yang amat bernilai ini. Kepada arwah ayah, ibu dan seluruh warga peneroka felda samada yang hidup atau sudah meninggal, saya doakan ibu2 dan ayah2 semua diberkati dan dirahmati Allah S.W.T.
SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT BERHARI RAYA.