SAYA amat tertarik membaca rencana bertajuk Pemimpin UMNO perlu bangkit yang ditulis oleh Saudara Jamal Lulkhir Jaludin di muka 11 Utusan Malaysia semalam, 29 September 2010.
Apa yang tersurat serta tersirat dalam rencana ini mempunyai kebenaran yang amat saya sokong berteraskan kepada pengalaman saya bergerak di peringkat akar umbi di seluruh tanah air.
Landskap dan senario politik tanah air kita sedang mengalami satu perubahan yang cukup ketara di mana ia memerlukan satu blueprint baru pada UMNO bagi menembusi benteng 'mental block' khasnya di kalangan segelintir generasi muda yang buta sejarah politik tanah air.
UMNO perlu di overhaul secara total bagi menjaminkan agar ia terus relevan kepada segenap lapisan masyarakat Melayu. Sama ada kita suka atau tidak berteraskan kepada faktor usia UMNO yang telah mencecah lebih daripada usia 50 tahun, ia harus berhati-hati di dalam menggerakkan serta melaksanakan agenda politik hariannya.
Sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana parti politik walaupun besar dan ternama akan mengalami zaman menurun setelah usia mencecah melebihi setengah abad. Contoh nyata adalah parti Kongres di India dan LDP di Jepun serta beberapa lagi di dunia luar.
Hakikatnya, majoriti rakyat berbangsa Melayu khasnya di kalangan generasi tua masih menyayangi UMNO berdasarkan kepada fakta sejarah perjuangan UMNO di dalam memartabatkan bangsa, agama mahupun tanah air.
Namun, persepsi generasi muda yang kurang mendalami fakta sejarah politik negara pula semakin merenggangkan diri mereka dengan UMNO.
Kalangan generasi juga dilahirkan dalam keadaan serba mewah natijah daripada perjuangan memartabatkan bangsa dan negara oleh tokoh pemimpin terdahulu UMNO.
Hidup mereka senang kerana negara sedang berada di tahap sedang membangun dengan pesat dalam suasana ekonomi yang agak makmur.
Kalangan generasi muda ini tidak pernah mengalami kesusahan seperti mana yang pernah dilalui oleh generasi terdahulu di dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
Selama 22 tahun di bawah pentadbiran cemerlang Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah merancakkan persada ekonomi negara secara amat pesat yang telah memakmurkan punca pendapatan keseluruhan rakyat turut membuatkan kalangan generasi muda semakin angkuh serta lupa daratan. Ini adalah kerana mutu penghidupan mereka agak mewah.
Dari segi logiknya, UMNOlah yang telah memakmurkan ekonomi dan pembangunan negara melalui kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyaram Tun Hussein sehinggalah kepada kemuncak era kepimpinan emas Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tetapi kenapa kini UMNO semakin dibenci oleh kalangan generasi muda dan ramai daripada mereka merenggangkan diri dengan UMNO.
Realitinya, rakyat khususnya generasi muda tidak membenci pada UMNO tetapi kepada segelintir daripada tokoh pemimpin UMNO baik dari tahap Ketua Cawangan, Ketua Bahagian, tokoh-tokoh pemimpin peringkat negeri sehinggalah ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Persepsi mereka adalah pemimpin-pemimpin UMNO sombong, angkuh dan tidak mesra rakyat.
Saya banyak menjelajah di peringkat akar umbi dan mendapati ramai orang Melayu di peringkat bawahan mahukan Datuk Seri Najib membuat total political revamp.
Mereka menyatakan 60 peratus tokoh pemimpin sedia ada di seluruh negara harus digantikan dengan muka-muka baru yang lebih komited serta ikhlas di dalam perjuangan.
Suntikan idea baru untuk menjaminkan 'hak Melayu' terus terpelihara di samping bangsa lain turut diberi perhatian untuk menjaminkan negara majmuk ini berterusan aman damai sangat-sangat diperlukan bagi menjamin agar keyakinan rakyat terhadap kepimpinan masa kini pulih semula.
Bangsa Melayu adalah bangsa yang cukup baik, lembut, prihatin serta amat bertoleransi. Mereka beranggapan 'hak- hak Melayu' seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara yang telah dipersetujui secara bersama dengan bangsa asing melalui kontrak sosial sebelum menuntut kemerdekaan mesti dikekalkan, dihormati tanpa sebarang ungkitan lagi.
Sudah tiba masanya UMNO ubah paksi perjuangan dan balik kepada falsafah perjuangan lama. UMNO datang dari kampung dan kini mesti pulang ke kampung.
Jiwa pemimpin-pemimpin UMNO mesti berjiwa kampung. UMNO mesti mesra rakyat. Ideologi dan falsafah perjuangan UMNO harus berteraskan kepada memberi perhatian menangani permasalahan rakyat jelata di semua peringkat.
Jentera kepimpinan UMNO mesti rajin dan dinamis. UMNO tidak boleh lagi berpeluk tubuh dan mengharapkan sokongan datang secara sendiri. Walaupun UMNO parti 'keramat' yang memerdekakan negara kita dari penjajah namun kini jasa serta fakta sejarah tidak lagi mencukupi untuk UMNO meraih kasih sayang dari akar umbi.
Kelab Veteran UMNO juga harus meletakkan diri mereka sebagai salah sebuah cabang penting kepada UMNO. Orientasi dan susunan strategi Kelab Veteran UMNO amat diperlukan.
Pengalaman pemimpin terdahulu cukup penting dan amat diperlukan UMNO. Jangan sama sekali anggap Kelab Veteran sebagai kelas ketiga.
Tokoh-tokoh veteran UMNO ramai yang masih menyengat. Tokoh-tokoh veteran UMNO seperti Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Abd Aziz Shamsuddin, Tan Sri Sabaruddin Chik, Tan Sri Abd Hamid Othman serta beberapa lagi adalah tenaga yang masih relevan untuk membantu 're-brand' UMNO ke kampung-kampung dan seluruh pelosok tanah air.
Sesungguhnya juga Tun Dr. Mahathir Mohamad harus diletakkan sebagai idola berkekalan UMNO dan dalam masa yang sama semua ahli UMNO mesti mempelajari pelbagai resipi pengetahuan daripada beliau untuk terus menjaminkan parti itu tetap relevan.
AKTIVIS POLITIK
Kuala Lumpur
Dipetik Dari Ruangan Forum Utusan Malaysia
BN MENANG KEDAH SENANG.
klu sikap pemompin umno mcm dato paduka rozaitu umno boleh menang ke
BalasPadam