1. Pemilihan Bahagian, sudah lama berlalu. Adat pertandingan, ada yang kalah dan pasti ada pemenang. Ahli-ahli UMNO yang menerima idealisme demokrasi sepatutnya menerima apa juga keputusan dengan hati yang terbuka. yang menang diiktiraf dan yang kalah menerima kekalahan dan menyokong pemenang.
2. Namun, di Pendang kesempurnaan ini tidak berlaku. Rumah siap pahat pun berbunyi. Pelbagai cerita timbul selepas pemilihan. Yang tak dapat menerima kekalahan membawa kekecewaan itu kepada pihak pengaduan seperti SPRM dan Lembaga Disiplin UMNO untuk menyatakan ketidakpuasan hati. Malah ada sikap lebih buruk, iaitu mendedahkan keburukan UMNO yang mungkin betul atau tidak kepada parti lawan.
3. Kesannya pemimpin yang bertanding dalam pelbagai jawatan tempoh hari, sekarang dilihat penuh dengan pelbagai kesalahan dan keburukan. Bayangkan sekiranya mereka terpilih menjadi calon UMNO pada PRU 13 nanti, adakah mereka diterima oleh rakyat?
4. Kebencian sesama ahli UMNO Pendang semakin tegang, apabila pihak yang dituduh dengan pelbagai kesalahan parti, bebas dari tuduhan, maka pelapor pula diburu dan dihimpit oleh pihak didakwa. Malah mereka melihat pihak pelapor dengan rasa benci, dendam dan permusuhan.
5. Sedarkah wahai ahli UMNO Pendang, parti ini tidak boleh tewas lagi dalam PRU 13. Jika tewas sekali lagi UMNO adalah sejarah. Sedar atau tidak, UMNO dan ahli UMNO Pendang, perlu segera berubah demi kelangsungan parti keramat Melayu ini terus kekal mendakap keris bersilangnya dengan gagah, bagai Laksamana Hang Tuah lantang melaungkan kata-kata azimat ini "Takkan Melayu Hilang Di Dunia"
6. Demi kebangkitan semula UMNO Bahagian Pendang, di sini saya menyarankan beberapa perubahan yang perlu direnungi oleh ahli-ahli UMNO. Antaranya:
a) Menerima amalan demokrasi sepenuhnya dalam parti. Maksudnya demokrasi bukan sekadar membenarkan pertandingan dalam jawatan-jawatan tertentu tetapi juga soal sanggup menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Yang kalah menerima kekalahan, yang menang merapatkan perbezaan.
b) Menolak sama sekali rasuah politik. Ini bermakna ahli UMNO jangan hanya bercakap pemimpin-pemimpin tertentu terlibat rasuah politik, sedangkan diri sendiri tidak menghalang perbuatan ini. Malah ada ahli UMNO yang membiakkan permainan ini dengan meminta 'upah' bagi mendapatkan undinya, demi keuntungan sendiri.
c) Membuang jauh-jauh perasaan dendam dan irihati. Orang Melayu amat sinonim dengan perasaan dan perbuatan ini. Namun, kita di Pendang tidak ada pilihan, sekiranya kita ingin melihat kebangkitan semula UMNO, berkorbanlah. Jangan disekat kemunculan pemimpin-pemimpin baru yang berpotensi, sebaiknya pemimpin lama mengasuh bakat dan keterampilan oarang baru itu, bukannya dicincang lumat-lumat demi survival politik orang lama.
d) Menolak watak pemimpin ego dan sombong dan memilih yang humble dan boleh memberi khidmat dan mendengar. Ahli UMNO Pendang jangan terlalu taksub dan tertutup terhadap pemimpin tertentu. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi UMNO mesti kekal. Pemimpin yang tidak mampu berkhidmat dan mendengar perlu ditolak. Jangan disimpan terlalu lama sehingga menjadi liabiliti kepada parti kita.
e) Akhir sekali ahli UMNO Pendang, perlu meluaskan skop pandangan dalam soal berpolitik. Jangan hanya berpolitik untuk memenangi jawatan. Sebaliknya kita perlu mencontohi kaum Cina, politik mereka adalah untuk kepentingan dan kelangsungan bangsa mereka. Ahli UMNO Pendang jangan mudah tertipu dengan pelbagai retorik parti pembangkang. Jangan jadi seperti Pak Kadok, ;ayam menang bersabung kampung habis tergadai'.
Rabu, 15 April 2009
Berubahlah UMNO Pendang
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan