Rabu, 8 April 2009

Pilihan Raya Kecil – BN Terima Keputusan

TAIPING, 7 April – Calon Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air dengan majoriti 1,854 undi apabila calonnya Malcom Mussen Lamoh memperoleh 3,907 undi menewaskan calon PKR, Jawah Gerang yang memperoleh 2,053 undi.
Dalam pilihan raya kecil yang berasingan iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Kedah menyaksikan Pas mempertahankan kawasan tersebut apabila calonnya, Nizar Jamaludin memperoleh 21860 sementara Ismail Saffian mendapat 19071 dengan majoriti 2789.
Sementara calon Bebas, Kamarul Ramizu memperoleh 62 undi dan hilang wang deposit.
Bagi perkembangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah pula, calon PKR, S. Manikumar dengan 12,632 undi menewaskan 14 calon lain termasuk Datuk S.Ganesan dari BN yang memperoleh 10,229 undi.
Calon lain yang bertanding atas tiket bebas ialah Tan Hock Huat (78), Radzi Md Lazim (25), Mohd Fazil Abdul Wahab (83), Abdul Rahim Abu (60), L.Sarala (49), A. Jayagopala (35), S.Moganakumar (46), Khamis Awang (29), Husaini Yaacob (253), M Venason (32), Mejar (B) Anuar Abd Hamid (528), T. Chandrarajan (73) dan R. Loganathan (31).
Mengulas mengenai kekalahan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil BN, Tan Seri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa BN menerima keputusan tersebut dan akur dengan pilihan para pengundi.
Katanya, cadangan untuk mencari punca sebab-sebab kekalahan tersebut akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan setelah diluluskan akan dibuat dengan segera secara bebas iaitu tidak tertumpu kepada BN sahaja.
Dalam hal ini juga, beliau menolak tafsiran sesetengah pihak kononnya kekalahan tersebut adalah penolakan kepada kepimpinan baru berikutan peralihan kuasa yang berlaku terlalu awal dan tidak boleh dikaitkan dengan keputusan pilihan raya di dua kawasan tersebut.
Bagi beliau, keputusan tersebut bukan satu referendum soal kepimpinan sebaliknya mungkin kerana ‘feel good factor’ soal kepimpinan Perdana Menteri agak baru, dan belum meresap ke dalam jiwa pengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan