Ahad, 17 Mei 2009

Selamat Hari Guru

Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pendang, mengucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada semua guru yang bertugas di Daerah Pendang dan seluruh Malaysia amnya. Jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan kepada seluruh anak didik di Pendang tak dapat dibalas dengan segala kekayaan didunia. Hanya Tuhan sajalah yang dapat membalas segala ilmu, yang tuan-tuan telah curahkan.
Sebagai penghargaan, saya perturunkan sebuah sajak, nukilan Usman Awang sebagai hadiah kepada cikgu.

GURU OH GURU
USMAN AWANG



Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG

1979


Tiada ulasan:

Catat Ulasan