Ahad, 27 September 2009

Bagan Pinang 2009. Jembalang Depan Pintu

Perkara yang paling susah dan payah untuk diterima adalah kebenaran! Sekali pun sudah dibentangkan hujah dan dalil yang kukuh, namun demikian, hati manusia sangat tidak gemar mendengar dan menerima kebenaran. Isu berkenaan siapakah calon yang paling layang untuk diletakkan sebagai calon di kerusi Bagan Pinang masih menjadi tanda-tanya dalam kalangan ahli-ahli UMNO. Masih ramai yang keliru apakah yang harus diperjuangkan oleh UMNO pada ketika ini - yakni ketika UMNO dilihat sebagai lemah. Jawapan saya sangat mudah - UMNO pada saat ini perjuangannya hanya satu sahaja, iaitu membuang dan mengorbankan semua ahlinya yang jelas terlihat dengan politik wang dan rasuah - tidak kira seramai mana sekali pun - hatta jika UMNO hanya tinggal seorang sahaja ahlinya yang bersih maka lakukanlah, itu lebih baik.

Percayalah UMNO sama sekali tidak akan rugi menolak dan membuang mana-mana ahlinya yang terbukti terlibat dengan politik wang dan rasuah - hanya dengan cara ini sahajalah UMNO akan kembali seperti asalnya - memperjuangkan agama, bangsa dan negara seikhlas mungkin. Kepada DS Najib dan TS Muhyiddin, janganlah rasa gentar dan bimbang jika jawatan yang tuan berdua sandangkan itu tergugat lantaran kerana bertegas terhadap ahli-ahli UMNO yang melakukan rasuah dan politik wang - yakinlah tiada sesiapa pun yang mampu menjatuhkan tuan berdua selagi Allah tidak mengizinkannya.

UMNO tidak akan rugi apa-apa seandainya pemimpin UMNO yang mengamalkan politik wang seperti Khairy jamaluddin, Tan Sri Isa Samad dan Datuk seri Ali Rustam dikeluarkan daripada UMNO - dan UMNO tidak akan runtuh dan musnah kerana ketiadaan mereka dan para penyokongnya, sebaliknya UMNO akan semakin segar bugar dan kukuh. Malah, jika semua Ketua UMNO Bahagian mengamalkan politik wang dan mereka dipecat serta dikeluarkan daripada UMNO sekali pun, saya tetap yakin UMNO tidak akan hancur. UMNO hanya akan hancur selagi budaya "hulur" dan "salam berisi" menjadi amalan harian ahlinya.

Saya akui, UMNO akan menderita untuk seketika apabila kita mengambil tindakan tegas ke atas ahli-ahli UMNO yang mengamalkan politik wang dan rasuah - UMNO akan dikecam dengan pelbagai tohmahan, umpamanya mengambil tindakan terpilih dan sengaja ingin menjatuhkan "orang-orang tertentu"- tetapi percayalah, penderitaan itu hanyalah bersifat sementara bagi UMNO - yakni sementara menanti ia dipulihkan kembali dengan kehadiran ahli-ahli UMNO yang bersih dan ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara menerajui kepimpinan bahagian masing-masing.

Tahukah kita bahawa di mana kita boleh menemui ahli-ahli UMNO yang ikhlas berjuang? Golongan ini banyak terdapat dalam kalangan ahli jawatankuasa UMNO cawangan - hakikatnya golongan inilah yang banyak buat kerja sewaktu berlaku sesuatau pilihan raya, mereka tidak mengharapkan imbuhan, cuma inginkan penghargaan - namun demikian, yang sering naik mencanak dan menjadi AJK Bahagian adalah golongan yang pandai membodek dan menghulurkan duit - tetapi tidak tahu buat kerja dan berucap. Sedikit demi sedikit golongan yang ikhlas berjuang disisihkan oleh ketua-ketua bahagian. Ketua-ketua bahagian lebih gemar mendampingi golongan yang kuat membodek, mengampu dan mudah dibeli - akibatnya UMNO kehilangan begitu banyak pemimpin pelapis dan ahlinya yang kental dalam perjuangan parti -manakala yang naik menjadi pemimpin adalah dalam kalangan perasuah dan pengamal politik wang. Maka secara tidak langsung terbentuklah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian yang terdiri daripada para perasuah dan pengamal politik wang! Walau pun kita hanya menerima RM20, untuk mengundi si fukan atau si fulan, itu tetap dikira duit rasuah!

Maka, apabila kita bercakap soal transformasi di dalam UMNO, adalah menjadi harapan rakyat dan golongan ahli UMNO yang ikhlas berjuang, untuk melihat tindakan tegas daripada DS Najib dan TS Muhyiddin dalam membersihkan UMNO sebersih yang boleh - malah, kita tidak perlu ada rasa kasihan kepada mereka yang melakukan dosa rasuah dan politik wang - golongan ini adalah musuh dalam selimut untuk UMNO, bahkan inilah musuh NO 1 UMNO yang harus dihapuskan terlebih dahulu - dalam Islam sesiapa yang menghulurkan rasuah dan menerima duit rasuah mereka akan diletakkan di dasar kerak neraka - apakah golongan ini harus dikasihani lagi?

------------------------------------------------------------------------------------------

Soal mereka sudah bertaubat atau pun tidak - itu soal kedua dan merupakan hubungan rahsia mereka dengan Allah SWT- kita tidak tahu sama ada taubat mereka sudah diterima atau pun ditolak oleh Allah - tetapi, dosa rasuah yang telah mereka lakukan itu sudah pun meninggalkan kesan negatif dan fitnah kepada UMNO dan ahli-ahlinya yang ikhlas berjuang, bak kata perpatah - kerana nila setitik rosak susu sebelanga dan kerana seekor lembu bawa lumpur habis semua lembu terpalit.

Saya tetap berpendirian bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk UMNO membetulkan dirinya. Inilah masanya untuk UMNO menjadi kuat semula. Dan inilah masanya untuk kita humba ke luar para perasuah yang masih bertenggek untuk meraih simpati. Tiada masa yang lebih sesuai - selain inilah masanya. Memang, tindakan ini agak sukar - tetapi percayalah UMNO hanya menderita untuk sekita sahaja dan "sakit"nya hanya sementara - biarlah sekali pun jika para perasuah ini mahu menyertai parti pembangkang - mereka akan tetap gagal dan tewas. Sama ada mahu atau pun tidak - UMNO terpaksa mengorbankan semua pemimpinnya yang jelas terlibat dengan rasuah dan disabitkan kesalahan sebagai pengamal politik wang.

Jika mereka masih mahu juga kekal dengan jawatan masing-masing, kita harus melakukan sesuatu, yakni menggugurkan atau menyisihkan mereka, secara bijak dan terancang. UMNO harus segera menunjukkan rasa benci terhadap perlakukan mereka itu - jika tidak, para perasuah akan tetap kekal dan bermaharajalela di dalam UMNO. Kita tidak harus ada rasa takut dan bimbang dengan ugutan para penyokong mereka - percayalah para penyokong mereka pun hanya berani bersorak sahaja - mereka bersorak kerana duit dan bukan untuk parti dan perjuangan yang suci. Sekali pun golongan ini membawa keluar para penyokongnya daripada UMNO, biarkanlah. Lagi pun UMNO tidak memerlukan para penyokong perasuah untuk menguatkan dan mengukuhkan UMNO. UMNO hanya akan kuat melalui ahli-ahlinya yang ikhlasUMNO tidak perlu rasa bersalah dan kehilangan jika terpaksa mengorbankan nama-nama pengamal politik wang seperti Khairy Jamaluddin, Tan Sri Isa Samad, dan Datuk Seri Ali Rustam - janganlah kerana terdapat rasa kasihan, maka kita tidak rela menghukum perbuatan mereka.

Yakinlah, seksa Allah terhadap pengamal rasuah adalah jauh lebih pedih dan menakutkan daripada hukuman yang dijatuhkan oleh UMNO! Golongan yang menyokong para pelaku rasuah juga harus segera disisihkan daripada UMNO, tiada bezanya mereka itu, yang memberi dan yang menerima sama sahaja dosanya. Mereka yang telah terbukti terlibat dengan politik wang harus segera dinasihat agar segera meletakkan jawatan dan berehatlah daripada politik - itu lebih baik untuk mereka, walau sehebat mana pun kerja dan hubungan mereka dengan rakyat. Selagi UMNO tidak mengambil tindakan tegas dalam soal ini, maka mimpi UMNO akan pulih untuk selama-lamanya. UMNO hanya memerlukan ahli-ahlinya yang bersih sahaja, hatta tinggal hanya seorang ahli UMNO sahaja yang bersih, maka itu adalah jauh lebih baik daripada 99 peratus ahlinya yang mengamal rasuah. Maka, fikir-fikirkanlah siapa yang harus kita pilih untuk calon UMNO di Bagan Pinang. Kita bukan menyokong UMNO kerana pemimpinnya, tetapi kita menyokong UMNO kerana keikhlasan dan amanah pemimpinnya! Wallahualam.


Dipetik dari : Azli Shukri


Tiada ulasan:

Catat Ulasan