Sabtu, 12 September 2009

Calon Betul2 Bersih Untuk Bagan Pinang

  1. Persoalan calon menjadi masalah utama di Bagan Pinang. Cubaan menamakan Tan Sri Isa Samad sebagai calon tunggal, adalah satu tindakan yg kurang elok dan bertentangan dengan kemahuan TPM, yg meminta lebih dari satu nama untuk dipertimbangkan. Sikap ini juga menggambarkan seolah-olah UMNO sudah ketandusan calon yg berkelayakkan.
  2. Sepatutnya Bahagian Rembau sedar, bahawa PRK kali ini menjadi kayu pengukur penting kepada orang Melayu, samada menerima atau terus menolak UMNO. Ingat , kemahuan golongan muda kini yg mahukan calon yg betul2 bersih. Mereka boleh merubah keputusan undi bilamana kemahuan mereka tidak dipenuhi.
  3. Lebih membimbangkan lagi jika kesannya menjejaskan UMNO dalam PRU 13 nanti.

Untuk perbincangan lanjut, sila baca petikan rencana dalam akhbar UTUSAN MALAYSIA hari ini

WASPADA sentimen "pembunuhan watak" calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Demikian ingatan beberapa penganalisis politik menjelang saat pencalonan.

Dr. Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang menarik perhatian bagaimana pada hari pertama kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir lagi, calon BN telah diselongkar segala latar belakang silamnya.

"Antaranya dakwaan salah laku dalam syarikat guaman, urusan tanah dan perkahwinan keduanya.

"Mungkin dakwaan-dakwaan itu tidak benar tetapi jika ditujah dan diuar-uarkan secara berterusan, lama kelamaan ia mempengaruhi masyarakat khususnya pengundi," ujarnya yang turut memantau pilihan raya kecil yang menyaksikan BN tewas baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia semalam, Sivamurugan tidak menolak antara faktor penting pemilihan seseorang calon khususnya jika seseorang itu dari UMNO ialah dia semestinya mendapat sokongan padu daripada setiap sayap, cawangan, bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri di kawasannya.

"Namun dalam keadaan soal etika dan moral begitu diberi perhatian utama sekarang, faktor tadi sudah menjadi nombor dua atau mungkin tiga.

"Bukan sahaja di Permatang Pasir, calon BN pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu juga menyaksikan BN terpaksa bertindak defensif mempertahankan kredibilitinya.

"Ini menyebabkan BN setiap hari dan masa terpaksa pula menjelaskan tentang kewibawaan calonnya daripada mengupas isu-isu pembangunan rakyat yang sedang atau telah direncanakan," katanya.

Bagan Pinang di Parlimen Teluk Kemang menyaksikan kekosongan kerusi setelah penyandangnya, Azman Mohd. Noor, 54, meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah. Pada pilihan raya umum Mac 2008, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi menewaskan Ramli Ismail dari Pas.

Nada menyokong rumusan Sivamurugan turut disuarakan oleh profesor politik dan pengajian antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Mohamed Mustapha Ishak.

"Sewajarnya calon yang pernah terlibat dalam masalah etika tidak lagi dipertaruhkan di Bagan Pinang. Dikhuatiri persepsi masyarakat seolah-olah BN sudah ketandusan calon yang baik.

"Apakah BN mahu memperjudikan parti dengan memberi modal percuma kepada pembangkang dari awal kempen lagi.

"Mungkin calon yang difikirkan oleh sebilangan orang ini popular tetapi kita mesti ingat faktor nombor dua lagi penting iaitu dia harus bersih," katanya.

Tegas Mohamed Mustapha, dalam aspek ini terutamanya di Bagan Pinang, BN mesti meletakkan perkiraan dalam memilih calon dengan tidak mengetepikan kehendak pengundi muda.

Baik Sivamurugan mahupun Mohamed Mustapha, kedua-duanya bersetuju bahawa BN tidak boleh berkompromi dalam soal pemilihan calon di Bagan Pinang.

BN harus membuat tapisan yang halus untuk memastikan calonnya benar-benar memenuhi kehendak bukan sahaja ahli UMNO malah masyarakat pelbagai lapisan termasuk India dan Cina yang meliputi hampir 30 peratus di Bagan Pinang.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan