Ahad, 6 September 2009

Khianat Bangsa, Jual Negara

Permatang Pasir sudah selesai? Sekali air bah sekali pantai berubah dan keadaan kembali seperti sedia kala. Namun seketika lalu – Permatang Pasir berombak – pilihan raya kecil yang lalu menyaksikan PAS kembali menduduki kerusi ADUN, semua seakan selesai dan rakyat telah memilih wakil mereka?

Namun hari ini analisis demi analisis di buat – kenapa UMNO tewas, bagaimana UMNO mahu terus memecahkan kebuntuan kemenangan dalam pilihan raya kecil dan adakah keputusan itu boleh di kupas sebagai kegagalan UMNO dalam melakukan reformasi dalaman serta kegagalan kerajaan BN dalam melakukan reformasi total pentadbiran?

Persoalan terus bercambah, adakah Melayu masih menyokong BN dan UMNO atau Melayu sudah beralih arah. Apa benarkan teori BN telah hilang sokongan kaum Cina serta Cina penentu undi dan mengapa kemelesetan sokongan ini berlaku? Adakah kekalahan ini kerana sentimen kempen, tuduhan dan pendedahan. Adakah rekod pencapaian, perjuangan dan pelaksanaan pembangunan BN dan UMNO tewas kepada propaganda, diayah dan tuduhan. Adakah ceramah dan media Internet pembangkang dengan isu dan sentimen perang saraf mengaburkan jasa dan perjuangan yang selama ini dilakukan oleh pemerintah – kerajaan BN yang selama ini menerajui negara ini? Persoalan ini seakan sedia memberi jawapan mengenai kekalahan BN dan UMNO tetapi ketepatan jawapan perlu ada agar BN dan UMNO sedar akan masalah yang wujud dan bertindak menangani corak kempen agresif Pakatan Rakyat.

Semasa kempen salah satu isu besar yang timbul adalah kenyataan Tan Sri Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri) mengenai Anwar pengkhianat bangsa yang didasarkan dengan kolaborasi palsu Pakatan Rakyat dan penjualan isu perkauman dalam idealisme parti semata-mata mahu mengaut undi. Anwar dikatakan menggunakan isu rasis untuk mengaut sokongan kaum lain khususnya Cina. Tindakan Anwar dalam usaha mengaburi mata kaum lain untuk menyokong Pakatan Rakyat dan mengetepikan perjuangan Melayu dan agenda Melayu telah dilabel sebagai satu tindakan khianat yang mampu menggangu-gugat kestabilan sosiopolitik negara ini. Dalam kerajaan BN berusaha untuk menstabilkan perbezaan dari sudut perekonomian – benteng perkauman terus ditebalkan hanya kerana agenda politik Anwar Ibrahim. Itu isu yang dikemukakan oleh UMNO dalam melabel Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu ( bangsa).

Respons segera dilakukan oleh Pakatan Rakyat amat jelas sewaktu PRU Kecil di Permatang Pasir. Muhyiddin dituduh sebagai seorang pengkhianat negara sebenar atas alasan menjual tanah ke Singapura. Muhyiddin menjual negara – Muhyiddin pengkhianat kerana tidak mempertahankan kedaulatan negara dan segala tuduhan penjualan tanah dibuat sewaktu Tan Sri Muhyiddin menjawat jawatan Menteri Besar. Ini menjadi salah satu modal Pakatan Rakyat dalam melangkah menuju ke arah tuntutan demokrasi – yakni pilihan raya.

Timbalan Perdana Menteri sewaktu dalam kempen pilihan raya Permatang Pasir bangkit menafikannya! Kenyataan TS Timbalan Perdana Menteri dipetik sebagai – tidak pernah menjual tanah kepada Singapura seperti yang didakwa khususnya dalam pembinaan logi memproses air Linggui yang dibenarkan oleh Tan Sri Muyiddin kepada Singapura seperti yang didakwa. Pakatan Rakyat di cabar membuktikan penjualan tanah ke Singapura. Pakatan Rakyat lantas mengubah tuduhan penjualan tanah Lingiu kepada SEAKAN menjual bila Singapura membina infrastruktur projek pembekalan air Sungai Lingiu tersebut.

Penafian TS Muhyiddin jelas dengan fakta – fakta melibatkan Perjanjian antara Johor - Singapura pada tahun 1961 hingga 1965 yang akhirnya Singapura dibenarkan membina infrastruktur logi itu dengan kos mereka sendiri setelah Tun Dr Mahathir berbincang dengan Perdana Menteri Singapura ketika itu Lee Kuan Yew berlaku. Namun dengan segala penjelasan berfakta di jelaskan – tuduhan penjualan dan pengkhianatan terus di buat atas alasan politik dan tujuan pilihan raya.

Kita anjurkan perbincangan di sini – fakta di keluarkan oleh TS Muhyiddin mengenai tuduhan beliau menjual tanah ke Singapura – nyata tidak betul dan tepat – isu lain pula dimainkan dan akhirnya setelah menang pilihan raya kecil – isu pengkhianatan akibat konon-konon menjual tanah ke Singapura hilang – hilang bersama-sama kemeriahan kemenangan.

Adakah tidak kita lihat – bahawa propaganda penjualan tanah itu hanya satu usaha meletakkan BN dan UMNO dalam kerangka defensif (dalam konteks pilihan raya kecil Permatang Pasir) dan semata-mata untuk tujuan undi. Adakah tidak kita lihat – cara kempen PRU Kecil yang dilakukan hanya semata-mata mahu rakyat terpengaruh dengan pergolakan dan kehangatan berkempen dan usaha menyerang awal demi politik semata-mata. Kenapa selepas pilihan raya kecil itu TS Muhyiddin tidak terus diserang sebagai orang yang terlibat dengan penjualan tanah ke Singapura tersebut dan terlibat dalam menjual maruah dan kedaulatan negara? Mungkin semua disenyapkan kerana matlamat telah tercapai dan kempen politik mereka telah berjaya.

Maka kita lihat unsur menghalalkan cara dalam politik. Maka kita melihat corak kempen dalam politik yang ada. Maka kita persoalkan ciri politik dalam negara ini – yang ganas dengan serangan perang saraf semata-mata berkehendak kuasa dan politik balas dendam yang merugikan bangsa sendiri.

Kita melihat ada tuduhan tetapi tuduhan itu adalah tuduhan bermusim untuk kemenangan politik semata-mata. Halalkan cara – kerana kemenangan ada mempunyai hasrat dan cara ini adalah medium pencapaian baik bermoral ataupun tidak. Adakah ini cara politik yang mahu diajar – buat tuduhan – tunggu penafian namun “damage” telah berjaya dilakukan dan ini memberi impak kepada pengundi yang hanya berpegang kepada sentimen dan raungan kempen politik. Nilai dan lain-lain keutamaan diketepikan demi kemenangan.

Ini adalah cara mereka dan inilah yang sering digunakan lantas mengebumikan persoalan moral dalam berpolitik. Penghujahan jitu dan konklusif mengenai penjualan tanah Sg Lingiu tidak dapat digunakan atas alasan berbukti tetapi dari sudut kekejian politik – demi matlamat dan hasrat segala-galanya halal di laksanakan. Adakah ini sebenarnya senario politik Malaysia. Ada pendapat yang berbeza mengenai kupasan isu ini. www.umno-reform2.com mahu diskusi ini di buat agar kita sesama mengetahui apa sebenarnya corak dan cara politik di Malaysia ini – sama ada anjuran Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Rakyat perlu tahu dan rakyat perlu didedahkan dengan sebaik mungkin untuk membuat pilihan. Kita tidak mahu melihat rakyat di sogok dengan cerita sensasi baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat untuk mempengaruhi pilihan lantas meletakkan negara dalam keadaan yang amat merugikan – kita bincangkan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan