Selasa, 27 Oktober 2009

Anak Peneroka Penerima Anugerah Eno Asia.


BALING 26 Okt. - Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Felda Teloi Kanan, Mohd. Khairul Effendy Che Wan terpilih menerima Anugerah Emas Environment OnLine (ENO) Asia pada November ini.

Lebih menarik, Mohd. Khairul turut terpilih menerima satu lagi anugerah iaitu Anugerah Belia ENO Malaysia.

Anak peneroka Felda Teloi Timur ini dipilih oleh badan antarabangsa itu kerana penglibatannya dalam aktiviti alam sekitar termasuk penanaman pokok dan kajian kualiti air yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Pengetua SMK Teloi Kanan, Noriah Bahari berkata, kejayaan pelajar itu bukan sahaja mengharumkan nama sekolah malah negara amnya.

''Mohd. Khairul baru sahaja menerima anugerah khas kokurikulum dan pelajar terbaik kokurikulum peringkat negeri beberapa hari lalu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pemilihan pelajar itu dimaklumkan sendiri oleh ENO Antarabangsa berpejabat di Finland melalui emel semalam.

ENO adalah badan antarabangsa yang bergiat aktif dalam aktiviti alam sekitar yang mempunyai keahlian di 122 buah negara.

Pada April lalu, Mohd. Khairul bersama dua lagi rakannya berjaya memperoleh tiga pingat emas pada Festival Sains Teknologi dan Alam Sekitar di Joenssu, Finland.

Noriah berkata, Mohd. Khairul turut terpilih mewakili negara pada Ramsar Eco-Camp Asia di Joenju, Korea tahun lalu.

Tambahnya, kejayaan anak peneroka itu menjadi pembakar semangat kepada ramai lagi pelajar khususnya ahli Kelab Pencinta Alam sekolah itu yang aktif dalam aktiviti alam sekitar.

Mohd. Khairul bersama dua rakannya juga adalah penerima Anugerah Belia Remaja Kebangsaan bagi kategori sains dan Teknologi bagi tahun ini.

Sementara itu, Mohd. Khairul ketika ditemui gembira dengan pengiktirafan badan dunia tersebut.

Menurutnya, walaupun datang dari sekolah luar bandar, namun penglibatannya dalam aktiviti alam sekitar mendapat penghargaan dari luar.

''Kejayaan ini bukan untuk saya seorang tetapi pencetus semangat kepada rakan-rakan lain dari Kelab Pencinta Alam sekolah ini," ujarnya.

Dia yang juga Ahli Kelab Radio Amatur pernah mengambil bahagian dalam sidang video antara benua melibatkan Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Malaysia sempena Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun lalu.

Ulasan Saya:

Tahniah kepada Mohd Khairul Effendy Che Wan, kejayaan anda benar2 membanggakan saya dan ramai lagi warga Felda seluruh Negara. Kejayaan anda juga membuktikan Felda mampu melahirkan modal insan berkualiti dan berketrampilan.

Kepada anak2 felda yg lain, jadikan Mohd Khairul sebagai contoh. Ciptalah kejayaan yang membanggakan kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan