Khamis, 22 Oktober 2009

Anwar Tewas Lagi







PUTRAJAYA 20 Okt. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal meneruskan rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman fitnah RM100 juta terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mengetepikan rayuan Anwar. Hakim Abdul Malik yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad turut memerintahkan Anwar membayar kos kepada Dr. Mahathir.

Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Julai 2007 yang membatalkan samannya terhadap Dr. Mahathir yang menuduhnya seorang homoseksual pada persidangan anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 9 September 2005.

Dengan keputusan ini, bermakna mahkamah tersebut tidak akan mendengar rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang dijadualkan pada 2 November ini.

Hakim Abdul Malik turut menolak dengan kos permohonan Anwar untuk lanjutan tempoh masa bagi membolehkannya memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa Melayu.

Dalam permohonan membatalkan rayuan Anwar yang difailkan pada 2 Oktober lalu, Dr. Mahathir mendakwa, terdapat beberapa kecacatan dalam memorandum rayuan menyebabkan rekod rayuan tidak sempurna dan tidak boleh diperbaiki.

Peguam Datuk V.K. Lingam yang mewakili Dr. Mahathir berhujah, antara kecacatan tersebut ialah Anwar tidak mematuhi peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 apabila memorandum rayuannya dibuat dalam bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa Melayu.

Memorandum tersebut juga, katanya, tidak ditandatangani oleh peguam cara perayu, tidak mempunyai tarikh spesifik, tidak mengandungi kronologi peristiwa kes serta gagal melampirkan indeks rekod rayuan dengan teratur.


Ulasan Saya : Anwar tewas lagi kepada gurunya Tun Mahathir untuk kali ketiga berturut-turut. Anwar Ibrahim tewas kepada Mahathir buat pertama kali pada tahun 1998 - apabila beliau secara terang-terangan cuba memburukkan imej Presiden UMNO melalui isu kronisme dan nepotisme yang dicanang oleh juak-juaknya pada ketika itu, hal ini termasuklah dengan penglibatan Datuk Seri Zahid Hamidi yang menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada ketika itu - namun demikian, usaha tersebut menemui kegagalan. Anwar tewas buat kali kedua kepada Mahathir dalam pilihan raya umum ke-10 pada tahun 1999 apabila mendakwa bahawa beliau dianiaya dan difitnah serta terdapat konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya dari kerusi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Dengan melakukan demontrasi serta menjadikan masalah peribadinya sebagai masalah nasional dan rakyat jelata - Anwar cuba menjatuhkan Mahathir melalui peti undi dan saluran demokrasi - sekali lagi sejarah membuktikan Anwar tetap gagal! Dan kita - untuk kali ketiga, Anwar tewas, dan pada kali ini usaha untuk mengheret Mahathir ke kancah muflis melalui undang-undang dan mahkamah menemui kegagalan - maka, apakah kita semua masih tidak dapat melihat wajah kebenaran lagi? Anwar tetap berdegil mendakwa bahawa beliau berada di pihak yang benar, tetapi hampir semua tanda yang telah Allah berikan kepada kita menunjukkan sebaliknya. Tepuk dada tanya iman. Wallahualam.

Dipetik dari blog Azli Shukri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan